JANA PENDAPATAN DENGAN IKLAN E-PORTAL

JANA PENDAPATAN DENGAN IKLAN E-PORTAL
Saya akan tunjuk jalan keluar dari kemelut kewangan,mari kita sama-sama menjana ekonomi Islam dan Ummah


Selasa, 1 Jun 2010

Program Penghargaan Warga Emas Di Kepala Batas

Program Penghargaan Warga Emas Di Kepala Batas
Pegawai Penyelaras KADUN dan ahli JKKK Kepala Batas, Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal

Barisan media massa yang terus komited memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri sehingga kini

Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Datin-Datin

Ketua-Ketua Jabatan Dan Tuan-Tuan / Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian.

Salam Hormat dan Selamat Sejahtera

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Yang Maha Esa kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka dapatlah kita berhimpun bersempena Majlis Penyampaian Sumbangan Program Penghargaan Warga Emas dan Makan Malam khas untuk warga emas di Kepala Batas dan Bumbung Lima di sini malam ini.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua yang sudi hadir bagi bersama meraikan satu lagi detik bersejarah Kerajaan Berjiwa Rakyat yang sentiasa berjuang untuk kepentingan seluruh rakyat Pulau Pinang.

Tidak dilupakan adalah penat lelah ahli jawatankuasa penganjur terutamanya pihak JKKK Kepala Batas yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis penghargaan pada malam ini.

YB/YBhg Dato’/Datin’/Tuan/Puan sekalian,
Dalam usaha Kerajaan PR untuk merealisasikan visi bagi menobatkan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar antarabangsa yang bakal menjadi pilihan pelabur ; destinasi pilihan para pelancong dan habitat pilihan untuk kehidupan yang mapan, Kerajaan PR Berjiwa Rakyat tidak akan sama sekali mengabaikan tanggungjawab sosial menfokuskan kepada keperluan kebajikan kepada rakyat jelata.

Sebaliknya, sebagaimana ditekankan di dalam urus tadbir Kerajaan yang cemerlang berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT), terdapat lima penekanan prinsip teras iaitu Keadilan, Kebebasan, Kebenaran, Kebajikan Sosial dan Ketaqwaan Kepada Tuhan yang menjadi pegangan utama.

Buktinya, Kerajaan Negeri telah dan akan melaksanakan pelbagai usaha kepada rakyat untuk bersama-sama menikmati kemakmuran yang kita sedia ada. Justeru itu, Program Penghargaan Warga Emas ini dijadikan sebagai salah satu agenda utama Kerajaan Negeri kini.

Malah, pada malam ini, saya berasa amat bertuah kerana dapat melihat riak wajah gembira golongan warga emas yang telah banyak berjasa dan berkorban demi negeri Pulau Pinang berada di sini untuk bersama saya dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri menerima sumbangan penghargaan khas ini.

Saya tahu, banyak pihak yang menganggap wang RM100 merupakan jumlah yang kecil, namun, di sebalik angka ini tersirat satu pengertian besar kepada golongan warga emas yang merasakan diri mereka pertama kali dihargai Kerajaan Negeri setelah 60 tahun.

Apa yang lebih penting, wang ini adalah diperoleh secara halal dan bukan cara haram. Wang ini adalah hasil sikap jimat-cermat, amalan belanjawan berhemah berdasarkan prinsip urus tadbir CAT!

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pada malam ini, seramai 635 warga emas dari pelbagai kaum dan bangsa bakal menerima sumbangan penghargaan ini iaitu seramai 457 dari kawasan Kepala Batas manakala 178 dari Bumbung Lima, Kepala Batas.

Saya akur bahawa pemberian sumbangan ini agak lewat di kedua-dua kawasan ini ekoran kesilapan teknikal yang tidak dapat dielakkan. Namun, janji tetap janji dan ia akan dikotai pada malam ini berasaskan komitmen Kerajaan PR Berjiwa Rakyat kepada rakyat Pulau Pinang.
Saya berjanji bahawa kesilapan ini tidak akan berulang lagi khususnya di dalam proses pendaftaran sesi kedua yang telah bermula pada 1 Mei 2010.

Lazimnya, sumbangan penghargaan wang tunai sebanyak RM100.00 merupakan kesinambungan kepada usaha Kerajaan Pakatan Rakyat yang menjadi negeri pertama membasmi miskin tegar dengan memastikan setiap keluarga memperoleh RM 500 yang tak dapat dibuat selama 60 tahun sebelum ini. Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif untuk memberikan rebet air RM100.00 kepada hampir 170,000 keluarga susah dan sumbangan beras percuma pada tahun 2008 - 2009.

Malah, sebagai tambahan, di bawah program Penghargaan Warga Emas, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk menyerahkan sumbangan wang RM1,000 pengurusan jenazah/kematian untuk si waris.

YB/YBhg Dato’/Datin’/Tuan/Puan sekalian,

Dua hari lalu, saya telah melancarkan risalah empat bahasa 30 Dasar Kerajaan Berjiwa Rakyat yang diibarat sebagai satu kad laporan Kerajaan Pakatan Rakyat untuk 1.5 juta rakyat Pulau Pinang dihasilkan dengan menfokuskan kepada misi 3P iaitu Perkasakan Rakyat ; Perkuasakan Rakyat dan Perkayakan Rakyat.

Saya percaya, risalah tersebut telah berada di tangan tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Di dalam risalah tersebut telah menyenaraikan 30 dasar bermanfaat kepada seluruh rakyat Pulau Pinang yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan PR dalam tempoh dua tahun ini.

Perhatikan, banyak yang telah kita capai dan apa yang lebih membanggakan adalah negeri Pulau Pinang sentiasa muncul negeri pertama dan memimpin program-program serta dasar-dasar pada aspek kebajikan sosial, persekitaran, keadilan, kebebasan, pendidikan, kebenaran dan ketaqwaan kepada Tuhan.

Inilah bukti-bukti janji Kerajaan PR Berjiwa Rakyat!!

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Sungguhpun kerajaan negeri diugut oleh BN meminta SPRM menyiasat pemberian wang RM 100 sebagai satu amalan rasuah, kami bagaimanapun rela ditahan oleh SPRM kerana memberikan wang kepada rakyat. Namun, apabila Pengarah SPRM Pulau Pinang sendiri hadir pada majlis penyerahan sumbangan perdana pada Mac lalu dan tidak pun mengambil sebarang tindakan, situasi tersebut membuktikan bahawa BN sudah bankrup dan hilang modal politik!

Serentak itu, kerajaan negeri turut dikritik keras oleh parti lawan sehingga menabur fitnah bahawa warga emas yang mendaftar adalah usaha untuk menambah ahli-ahli DAP. Bagaimanapun, secara logik, kritikan ini hanya menunjukkan mereka takut akan pelaksanaan program penghargaan ini dan cuba melakukan sebotaj. Demi kepentingan rakyat dan bagi menghargai jasa golongan warga emas, program ini tetap akan diteruskan pada setiap tahun kerana kita berani kerana benar!

Sesungguhnya, Kerajaan negeri berusaha menjadi kerajaan baik yang mendengar suara rakyat, membuat kerja rakyat dan memberikan harapan baru kepada rakyat. Kita mahu memberikan harapan baru bukan sahaja kepada golongan belia tetapi juga kepada warga emas.

Sungguhpun mungkin anda rasai dilupakan, di sini saya berani memberikan jaminan bahawa selagi Kerajaan PR Berjiwa Rakyat berkuasa di Pulau Pinang, selagi itulah anda tidak akan dilupakan dan kepentingan warga emas akan terus diperjuangkan!

Sekian terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails